Wednesday, January 12, 2011

teori Transformasi generatif


Aliran Transformasi Generatif muncul selepas aliran struktural pada tahun lima puluhan. Teori Transformasi Generatif ini dipelopori oleh Noam Chomsky. Noam Chomsky merupakan seorang ahli psikolinguistik yang berasal dari Amerika Syarikat. Beliau telah dilahirkan di Philadelphian, Pennsylvania. Chomsky mendapat ijazah pertamanya pada 1945 dan sarjana pada 1955 di Universiti Pennsylvania. Chomsky kemudianya menjadi pensyarah bahasa Perancis dan bahasa Jerman di Massachusetts Institute of Technology (MIT) pada 1955 dan kemudiannya menjadi professor dalam bidang bahasa asing dan linguistik pada 1976 di MIT.
Chomsky telah memperkenalkan satu bidang linguistik baharu yang diberi nama tatabahasa generatif. Beliau telah menerbitkan buku yang bertajuk Syntactic Structures (1957) dan Aspects of the Theory of Syntax pada 1965 yang mengandungi teorinya yang dipanggil tatabahasa transformasi generatif.
Analisis Transformasi Generatif bertujuan untuk membentuk rumus-rumus sesuatu bahasa dengan lengkap berdasarkan pengetahuan penutur natif sesuatu bahasa. Rumus-rumus yang disediakan itu akan membolehkan orang lain yang tidak tahu mengenai bahasa itu membentuk ayat-ayat dalam bahasa berkenaan. Rumus-rumus yang dimaksudkan itu ialah rumus-rumus struktur frasa dan rumus-rumus transformasi. 
Manusia dilahirkan dengan kecekapan semula jadi untuk berbahasa. Bagi penutur asli, mereka mempunyai kecekapan berbahasa ini iaitu competense.  Kecekapan ini merupakan satu set implisit iaitu dinyatakan secara tidak langsung atau tidak secara terang-terangan.  Penguasaan bahasa berdasarkan penguasaan bahasa pertama dahulu.  Pengetahuan bahasa merupakan fenomena mental.  Struktur dalaman penutur asli membolehkan ayat berfrasa dan ayat yang mempunyai ketaksaan.  Dua struktur ayat dalam teori ini ialah struktur dalaman dan struktur permukaan.
Rumus-rumus transformasi berkuasa untuk menggugurkan unsur kata, menambahkan unsur kata dan mengubah atau menyusun semula.  Pendekatan huraian bersifat deduktif dan “kaji diri”.  Teori ini juga menunjukkan kajian berbentuk hipotesis tentang bagaimana bahasa bertugas.  Kita juga dapat lihat dalam teori ini, bahasa bersifat sejagat dan kreatif.  Binaan ayat mempunyai hubungan erat dan menggunakan simbol untuk menganalisis nahu.
Chomsky berpendapat bahawa kanak-kanak dilahirkan dengan alat pemerolehan bahasa yang dikenali sebagai LAD (Language Acquisition Devise). Menurut beliau, secara semula jadi, sewaktu dalam lingkungan umur tiga tahun, kanak-kanak sudah boleh bercakap dengan menggunakan tatabahasa transformasi-generatif. Tatabahasa transformasi-generatif (iaitu kebolehan kanak-kanak membentuk dan memanipulasi ayat-ayat) tidak dipelajarinya secara formal. Kebolehan itu “dipelajari” kanak-kanak melalui komunikasi lisan dengan orang dewasa.
Chomsky telah membezakan antara “kebolehan bahasa” dengan “pengetahuan bahasa”. Menurutnya, kebolehan bahasa bermaksud kebolehan kanak-kanak menggunakan bahasa. Pengetahuan bahasa bermaksud pengetahuan kanak-kanak tentang bahasa, iaitu tentang bentuk ayat, sistem makna dan sistem bunyi yang didengar dalam bahasa yang digunakannya. Pengetahuan tersebut tidak diajar secara formal tetapi ditiru, dipelajari dan difahami iaitu dengan mendengar dan bertutur.
Menurut Chomsky, sungguhpun kanak-kanak memang tidak dapat menerangkan rumus-rumus tatabahasa yang telah diserapinya, dia bagaimanapun dapat menggunakannya dengan betul. Dengan kata lain, daripada perlakuan bahasa kanak-kanak, kita boleh menilai sejauh mana dia telah memahami dan mempunyai pengetahuan tentang bahasa yang dituturnya. Menurut Chomsky, kanak-kanak dilahirkan dengan keupayaan semulajadi untuk menyerap pengetahuan tersebut, termasuk pengetahuan tentang tatabahasa bahasa yang didengar atau dituturnya.
Alat pemerolehan bahasa atau LAD yang dikatakan oleh Chomsky itu dipercayai berada di dalam otak manusia. Alat dan kebolehan semulajadi untuk mempelajari dan memahami bahasa itu dinamakan language universals, yang terdapat pda semua manusia dan boleh digunakan untuk mempelajari semua bahasa di dunia. Misalnya, semua bahasa memerlukan subjek dan predikat dalam sebaris ayat. Bentuk ayat itu mungkin berbeza. Ada yang berbentuk biasa dan ada yang berbentuk songsang. Ada kata adjektif yang terletak sebelum kata nama dan ada yang terletak selepas kata nama. Sungguhpun demikian, manusia boleh mempelajari pelbagai bahasa, dan ini boleh berlaku pada peringkat awal lagi, iaitu pada peringkat kanak-kanak sebelum mereka masuk ke alam persekolahan dan belajar secara formal. Maka oleh itu, Chomsky pernah mengatakan bahawa “Grammar is caught and not taught”. Maksudnya, aspek tatabahasa itu diserap oleh kanak-kanak dan tidak diajarkan kepada mereka secara formal.
Ciri-ciri Teori
  • Penutur jati berupaya menggunakan bahasa apabila berhadapan dengan pelbagai keadaan.
  • Bahasa adalah sistem tentang rumus-rumus bahasa.
  • Ayat mempunyai struktur dalaman dan permukaan.
  • Pengetahuan bahasa merupakan suatu fenomena mental.
  • Bahasa bersifat sejagat dan kreatif.
  • Penutur dilahirkan dengan kecekapan semulajadi.

Kesimpulannya, teori Chomsky yang tergolong dalam kumpulan mentalis cuba menerangkan perkembangan bahasa kanak-kanak. Chomsky telah mengaitkan pemerolehan bahasa itu dengan alat pemerolehan bahasa semulajadi (LAD). Teori Chomsky juga dinamakan sebagai teori nativistik kerana teorinya menekankan sifat semulajadi atau keaslian yang terdapat hanya dalam diri manusia. Sifat asli itu ialah potensi berbahasa yang secara semulajadinya sudah pun wujud apabila kanak-kanak dilahirkan dan pembelajaran bahasa itu boleh berlaku tanpa pengajaran formal yang terdapat di sekolah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...