BAB
8
SISTEM
BAHASA
Pengenalan
Sistem Bahasa merupakan salah
satu komponen yang terdapat dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah
rendah. Fokus dalam Sistem Bahasa ialah pada pengajaran dan pembelajaran
tatabahasa, sistem ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata, dan peribahasa.
Tatabahasa
Salah satu bukti kemahiran
berbahasa seseorang ialah kebolehan menguasai tatabahasa. Ia meliputi kebolehan
bertutur dengan sebutan, nada dan intonasi yang betul, dan menulis dengan
sistem ejaan yang tepat. Oleh sebab itu,
kecekapan berbahasa perlu diajarkan secara terancang dan bersesuaian dengan
kinteks pembelajaran sejak murid berada di sekolah rendah lagi. Lazimnya,
pengajaran tatabahasa di peringkat sekolah rendah menitikberatkan aspek
penggunaan. Terdapat beberapa tujuan pengajaran tatabahasa (1995: 11 – 12),
iaitu;
(a) mengetahui kelainan erti perkataan yang imbuhannya berbeza-beza dan
menggunakannya dengan betul, tepat dan gramatis dalam lisan dan penulisan;
(b)
menggunakan pelbagai jenis kata dalam pelbagai konteks;
(c)
menggunakan frasa yang betul;
(d)
membina ayat yang betul, tepat dan gramatis, dan
(e)
membina pelbagai jenis dan bentuk ayat dalam pelbagai konteks dengan betul.
Tatabahasa terbahagi kepada dua,
iaitu aspek morfologi dan aspek sintaksis.
(a)
Morfologi
Secara mudah, aspek morfologi
ialah berkenaan kajian tentang perkataan dan pembentukannya. Secara khusus,
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSR (2003) menerangkan morfologi sebagai
bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur kata, bentuk kata, dan golongan kata.
Tiga aspek itu diajar sejak sekolah rendah lagi.
Yang dikatakan struktur kata
ialah susun atur bentuk bunyi sesuatu perkataan apabila diujarkan. Ia juga
merangkumi aspek susunan lambang-lambang huruf (tulisan) sehingga menjadi satu
unit (kesatuan) bahasa atau perkataan yang bermakna. Maksud bermakna dalam
konteks ini ialah bagaimana membunyikan setiap huruf dalam perkataan berkenaan
hingga menghasilkan bunyi yang betul, atau susunan huruf yang betul apabila
dibunyikan dan ada makna. Contohnya,
huruf vokal (v), huruf konsonan (k), dan pola suku kata.
(a)
huruf vokal bahasa Melayu : [a], [e], [i], [o], dan [u]
(b) Huruf konsonan bahasa Melayu : [b], [c], [d], [f], [g], [h], [j], [k], [l], [m], [n], [p], [q], [r], [s], [t], [v], [w], [x], [y] dan [z].
Terdapat dua pola suku kata
bahasa Melayu. Pertama, pola suku kata asli bahasa Melayu, dan kedua, pola suku
kata pinjaman bahasa Melayu. Setiap suku kata terdiri, sama ada, KV, VK, KVK,
VKV, VKVK, KKVK dan sebagainya. Manakala, yang dikatakan bentuk kata pula
ialah rupa unit tatabahasa (perkataan / gabungan huruf) yang bermakna. Bentuk
kata boleh terdiri daripada;
(a)
kata tunggal (kata tidak menerima imbuhan dan ada makna);
(b)
kata terbitan (kata telah menerima imbuhan);
(c)
kata ganda (kata tunggal yang digandakan); dan
(d) kata majmuk (terdiri daripada beberapa kata tungga yang membentuk satu
makna).
Kata terbitan ialah kata tunggal
yang menerima imbuhan bagi menghasilkan perkataan lain. Makna kata terbitan
adalah berbeza dengan makna kata tunggal. Dalam ilmu bahasa, penerimaan imbuhan
itu dipanggil proses pembentukan kata. Ada tiga cara proses pembentukan kata
dalam bahasa Melayu. Pertama, pengimbuhan, iaitu kata tunggal menerima imbuhan dan
menghasilkan perkataan baharu yang dipanggil sebagai kata terbitan.
(i)
Imbuhan awalan : ber-, be-, bel-, me-, mem-, men-, meng-, menge-, memper-,
di-, ter-, pe-, pem-, pen-, per-, peng-, penge-, pel-, se-, ke-, maha-, tata-, pra-, pro-, dan anti-.
Kata tunggal +
imbuhan awalan = kata terbitan
( Lari + pe- = pelari )
(ii)
Imbuhan akhiran : -an, -i, -kan, -wan, -man, -wati, dan –nita.
Kata tunggal +
imbuhan akhiran = kata terbitan
( Lari + -an = larian )
(iii)
Imbuhan apitan : me- ... –kan, mem- ... –kan, men- ... –kan, meng- ...
–kan, menge- ... –kan, me- ...
–i, mem- ... –i, men- ... –i, meng- ...
–i, ke- ... –an, pe- ... –an, pem- ... –an, pen- ... –an, peng- ... –an, penge-
... –an, per- ... –an, pel- ... –an, di-- ... –kan, dan di- ... –i.
Kata tunggal +
imbuhan apitan = kata terbitan
( Lari + pe- ... –an =
pelarian )
Kedua, kata tunggal menerima
pengandaan dan menghasilkan perkataan baharu yang dipanggil sebagai kata
terbitan. Formulanya;
Kata tunggal +
pengandaan = kata terbitan
( Orang + orang =
orang-orang )
Ketiga, kata tunggal menerima kata
tunggal dan menghasilkan kata majmuk yang dipanggil sebagai kata terbitan, atau
istilah atau metafora. Ia terdiri daripada beberapa kata tunggal, sama ada kata
tunggal itu telah menerima imbuhan atau belum. Formulanya;
Kata tunggal +
kata tunggal = kata majmuk
( Segi + empat =
segi empat )
( Merah
+ hati = merah
hati )
Golongan kata ialah proses
menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi perkataan
berkenaan. Terdapat empat jenis golongan kata dalam bahasa Melayu, iaitu;
(a)
kata nama (perkataan yang menggambarkan nama sesuatu);
(b)
kata kerja (perkataan yang menggambarkan perbuatan);
(c)
kata adjektif (perkataan yang menggambarkan sifat sesuatu); dan
(d)
kata kata tugas (perkataan yang menggambarkan fungsi sesuatu).
Kata tugas dalam bahasa Melayu
terdiri daripada;
(i)
kata hubung
(ii)
kata seru
(iii)
kata tanya
(iv)
kata perintah
(v)
kata pangkal ayat
(vi)
kata bantu
(vii)
kata penguat
(viii)
kata penegas
(ix)
kata nafi
(x)
kata pemeri
(xi)
kata sendi
(xii)
kata pembenar
(xiii)
kata bilangan, dan
(xiv)
kata arah.
(b)
Sintaksis
Sintaksis ialah bidang ilmu
bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan pembentukan ayat. Berbeza dengan
morfologi yang mengkaji bentuk perkataan, sintaksis mengkaji gabungan beberapa
bentuk kata yang membina ayat atau terhasilnya ayat. Aspek sintaksis yang
dikaji ialah;
(a)
komponen ayat, iaitu unsur-unsur utama yang terdiri daripada kata, rangkai
kata, frasa, klausa, subjek, dan predikat ayat;
(b)
jenis ayat, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan;
(c)
ragam ayat, iaitu ayat aktif dan ayat pasif;
(d)
susunan ayat, iaitu susunan biasa dan susunan songsang;
(e)
binaan ayat, iaitu ayat dasar, ayat tunggal, ayat terbitan atau ayat
majmuk;
(f)
proses penerbitan ayat, iaitu konsep ayat terbitan, proses pengguguran,
proses penyusunan semula, proses peluasan; dan
(g)
aspek tanda baca dalam ayat.
Sistem Ejaan
Perkataan yang diberikan
penekanan ialah (a) pola keselarasan huruf vokal, (b) ejaan kata pinjaman, dan
(c) ejaan kata dasar dan kata terbitan.
Sistem ejaan rumi bahasa Melayu terdiri daripada keselarasan vokal, kata
pinjaman, kata terbitan, kata ganti singkat, kata sendi / kata sendi nama, kata
majmuk, kata nama, kata pertikel dan kata ganda. Sistem ejaan diajar agar murid
dapat mengeja sesuatu perkataan dengan betul supaya makna perkataan bersamaan
dengan maksud ujaran.
Sebutan dan Intonasi
Tekanan nada ketika membunyikan
huruf atau perkataan (sebutan) dan intonasi nada adalah mempunyai maksud atau
makna berlainan. Oleh sebab itu, murid wajar diajar cara-cara menyebut
(membunyikan huruf atau perkataan) dan tekanan atau intonasi nadanya dengan
cara yang betul. Kemahiran yang diperlukan ialah membezakan bunyi huruf atau
suku kata dan tekanan nada dalam situasi yang berbeza supaya murid dapat
menyampaikan maksud dengan tepat. Pengajaran sebutan hendaklah dalam bahasa
Melayu baku. Manakala, pengajaran intonasi ayat hendaklah mengikut pola ayat
yang betul berdasarkan jenis-jenis ayat. Di samping itu, pola intonasi bagi
ayat panjang juga hendaklah diajar agar murid dapat menyampaikan maksud dengan
jelas. Sebaik-baiknya, guru hendaklah memulakan pengajaran menggunakan ayat
tuggal mudah.
Kosa Kata
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu
KBSR (2003) menjelaskan bahawa kosa kata
terdiri daripada kata-kata umum dan kata-kata khusus atau disebut istilah
khusus. Setiap bidang ilmu mempunyai kata-kata khusus dengan ilmu dalam
bidangnya. Murid hendaklah diajar mengenali dan membezakan istilah khusus setiap
bidang ilmu. Misalnya, istilah ‘subjek’ ayat dalam ilmu bahasa adalah berbeza
maksud dengan istilah ‘subjek’ yang merujuk nama-nama mata pelajaran. Demikian
istilah ‘segi empat tepat’ hanya terdapat dalam Matematik atau Sains. Istilah
itu tidak terdapat dalam bidang ilmu Sejarah atau Geografi. Guru hendaklah
selalu mendedahkan kosa kata kepada pelajar agar pembendaharaan katanya
bertambah dan pelbagai. Galakkan murid menggunakan istilah-istilah yang sesuai
dengan bidang ilmu yang berkenaan. Salah satu aktiviti memperkayakan kosa kata
ialah mencari makna seerti, makna berlawanan, atau menjawab teka silang kata.
Peribahasa
Yang dimaksudkan dengan
peribahasa ialah rangkai kata yang mempunyai yang mempunyai makna tertentu.
Peribahasa merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan,
perbilangan, dan kata-kata hikmah. Pengajaran peribahasa hendaklah mengutamakan
falsafah, keperibadian, dan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia. Galakkan
murid menggunakan peribahasa dalam karangan-karangan yang mereka hasil.
Tujuannya, ialah agar karangan tersebut lebih bertenaga, bervariasi dan menarik
dibaca.
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan
didapati bahawa Sistem Bahasa turut berperanan menambahkan kemahiran berbahasa
murid-murid. Walaupun dalam setiap sesi
pengajaran mempunyai objektif tertentu yang hendak dicapai, namun guru tidak
boleh mengabaikan aspek bahasa kerana kebolehan murid berbahasa dengan baik
akan mempengaruhi kejayaan objektif pengajaran guru. Sebaik manapun objektif,
jika murid tidak dapat mengungkapkan isi pelajaran dengan menggunakan bahasa
yang baik, pengajaran guru itu tetap dianggap gagal. Justeru, guru hendaklah
memberi tumpuan terhadap aspek berbahasa murid. Malah, keberkesanan pengajaran
guru dan kejayaan murid dalam pembelajarannya adalah bergantung kepada
kemampuan guru dan murid menggunakan bahasa yang tepat dan berkesan.
Rujukan
Pusat Perkembangan Kurikulum,
Kementerian Pelajaran Malaysia, 1995.
Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah
Bahasa Melayu.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pusat Perkembangan Kurikulum,
Kementerian Pelajaran Malaysia 2003.
Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Maniyamin bin Haji Ibrahim dan
Ahmad Rasol bin Ariffin, 2007. Analisis
Kesilapan Ejaan Bahasa Melayu:
Satu Kajian Kes. Bukit Mertajam: Jabatan Pengajian Melayu, Institut Perguruan Tuanku Bainun.
0 comments:
Post a Comment